POLITIK MUAFAKAT ISLAM-MELAYU


POLITIK MUAFAKAT ISLAM-MELAYU

Politik seringkali dilihat sebagai satu pertentangan. Mungkin benar. Satu pihak ingin mempertahankan jawatan, manakala satu pihak lagi ingin merebut kuasa tersebut. Atas asas itulah agaknya, maka berita politik seringkali dilihat dari perspektif pertentangan. Wartawan yang dididik di sekolah kewartawanan untuk melihat konflik sebagai ciri “berita” juga melihat politik dari kaca mata ini.

Di negara kita, sama seperti di negara-negara Komanwel lain, ada kerajaan dan ada pembangkang. Maka, kita diasuh sejak kecil untuk mempercayai bahawa salah satu tugas pembangkang ialah mengkritik kerajaan. Sehingga ada yang berkata sekiranya pembangkang tidak mengkritik kerajaan, ia bukan pembangkang yang baik.

Sistem dua parti di Amerika Syarikat bukan saja menyaksikan Republikan dan Demokrat saling bertukar jawatan ketua minoriti dan majoriti di Senat dan Dewan Perwakilan, tetapi juga kedua-dua parti tersebut cuba memenangi hati rakyat dengan membentuk muafakat bagi membolehkan sesuatu usul diluluskan. Masing-masing cuba mendapatkan sokongan satu sama lain melalui proses perundingan. Kehebatan seseorang ahli politik bukan diukur sejauh mana beliau kuat membangkang, tetapi berdasarkan kemampuannya bertolak-ansur dan bermuafakat.

Dalam proses membentuk muafakat itu, ada yang memberi dan mengambil (give and take). Seseorang anggota Kongres akan cuba membentuk satu “coalition” bukan saja dengan anggota partinya, tetapi juga dengan parti lawan.

Pendekatan sedemikian mewujudkan suasana menang-menang (win-win) untuk kelompok majoriti dan minoriti; sekaligus mengukuhkan keyakinan kepada kata-kata, “menang tidak menang semuanya, dan kalah tidak kalah semuanya.”

Inilah yang disebutkan sebagai “politik muafakat.”

Malangnya, di Malaysia politik muafakat dilihat sebagai sesuatu yang asing. Penyokong parti-parti politik disemai dengan kepercayaan bahawa bermaufakat itu tidak baik, terutama sekali bermuafakat dengan parti politik lawan.

Oleh itu, apabila Mursyidul Am PAS Dato’ Nik Aziz Nik Mat dilaporkan berbincang dengan Ahli Parlimen Gua Musang (BN), maka ia dilihat dengan pandangan yang cukup serong sehingga Nik Aziz kemudian membuat kenyataan menafikan pertemuan itu. Sebelum ini, laporan Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang dikatakan bertemu dengan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak juga dinafikan berkali-kali. Malah, bekas Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa dan bekas Pesuruhjaya PAS Selangor Dato’ Hassan Ali juga dicerca kerana kononnya mereka berbincang dengan pemimpin-pemimpin UMNO.

Kita tidak tahu sejauh manakah benarnya laporan-laporan tersebut, namun apa yang pasti ialah dalam politik Malaysia, khususnya politik Islam-Melayu, perbincangan dengan lawan dilihat sebagai satu dosa besar.

Duduk bersama pun dianggap tidak boleh. Kisah beberapa orang pemimpin UMNO dan PAS makan malam bersama di Yang Dipertuan Agong menjadi isu besar. Malah, beberapa bulan lalu, gambar Anwar dan Tengku Razaleigh sedang minum di lobi Parlimen diangkat oleh sesetengah akhbar sebagai berita muka satu!

Sebaliknya, dalam politik Amerika Syarikat, kemampuan untuk berbincang dan menyakinkan lawan adalah merupakan satu aset politik. Malah, disebutkan bahawa salah satu ciri untuk menjadi pemimpin majoriti dan minoriti ialah kemampuan mereka membina muafakat dengan pemimpin parti lawan.

Mungkin sudah sampai masanya untuk kita menyeru pemimpin-pemimpin untuk beralih dari politik pertentangan kepada politik muafakat. Politik muafakat bukan bermaksud harus bersatu dalam wadah yang sama. Malah, secara strategiknya eloklah pemimpin-pemimpin politik Islam-Melayu terus bersaing dalam entiti yang berbeza. Namun, itu tidak bermaksud mereka tidak boleh membentuk muafakat, terutama sekali dalam hal-hal yang menyentuh kepentingan agama Islam dan bangsa Melayu.

Firman Allah swt, “Dan tolong menolonglah kamu dalam kebaikan dan taqwa, dan janganlah kamu tolong-menolong dalam perkara dosa dan permusuhan” (al-Maidah: 2).

Kata pepatah, bulat air kerana pembentung; bulat kata kerana muafakat.

Untuk membentuk muafakat, kedua-dua pihak harus duduk berbincang. Dari perbincangan itu, barulah boleh ditentukan agenda bersama. Selama mana kita berjiwa kecil dalam berpolitik, selama itulah kita akan melihat politik muafakat sebagai ancaman kepada survival politik kepartian.

Begitulah naifnya politik Islam-Melayu di negara ini!

sumber : sini

Apa salahnya semua ahli politik bekerjasama dengan niat untuk memajukan lagi negara Malaysia. Fikir-fikirkan...

Catatan Popular