Amaran- kesan penggunaan minyak masak berulang kali

Amaran! Jangan Gunakan Minyak Masak Berulang-Ulang Kali. Kesannya.... | Pusat Racun Negara baru-baru ini memberi amaran bahawa minyak masak yang digunakan berulang kali boleh menyebabkan hipertensi, merosakkan hati dan meningkatkan risiko kanser.

Pakar runding Pusat Racun Negara, Dr T.Jayabalan berkata, minyak masak tidak sepatutnya digunakan lebih dari sekali.

Apabila digunakan berulang kali, tahap kelikatan hidrokarbon di dalam minyak masak meningkat dan menyebabkan salur arteri tersumbat, hipertensi dan merosakkan hati.

Kebanyakan kita tidak membuang minyak yang telah digunakan dan di dalam bekas untuk digunakan sekali lagi sebelum dibuang.

Selain itu Pertubuhan Kajian dan Pembangunan Kualiti Makanan Universiti Kebangsaan Malaysia, yang telah menjalankan ujian ke atas 19 jenama minyak masak mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati apabila menggunakan minyak masak dalam peket 1kg

Kebanyakan minyak dalam peket 1 kg ini tidak sihat mengikut piawaian yang ditetapkan Lembaga Minyak Sawit Malaysia.
Sebagai langkah selamat, gunakan minyak yang mendapat pengesahan dari SIRIM sahaja.

Selain daripada itu, elakkan dari membeli minyak yang tidak dapat dipastikan pengeluarnya walaupun harganya adalah lebih murah. Ia biasa digunakan oleh segelintir peniaga jalanan dan pengusaha restoran bagi menjimatkan kos perniagaan.

Fenomena ini akan menyebabkan pengguna lebih terdedah kepada risiko untuk memakan minyak yang telah dikitar semula.

Bagi mengelakkan kemudaratan kesihatan, para pengguna mestilah meninggalkan tabiat makan di luar dengan memasak sendiri makanan. Selain itu, dengan cara ini, bukan sahaja dapat menjamin kesihatan tubuh dan minda, malah perkara utama yang tidak perlu dipertikaikan lagi adalah makanan yang dinikmati dijamin berkualiti dan halal.

Rumusannya, mana-mana minyak masak boleh digunakan selagi ada label SIRIM untuk menjamin kesihatan kita. Dan elakkan dari membeli dan makan makanan dari luar, yang status makanan yang dihidangkan tidak diketahui asal usul nya.
sumber : sini

BOMOH AMBIL KESEMPATAN CABUL PELAJAR

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan memerintahkan seorang bomoh menjalani hukuman penjara sembilan bulan bagi dua pertuduhan mencabul seorang pelajar perempuan yang mendapatkan rawatan untuk histeria di rumahnya pada 2005.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Seri Mohamed Apandi Ali membuat keputusan itu sebulat suara selepas membenarkan rayuan pendakwaan bagi mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi yang melepas serta membebaskan Mohd Yazid Yahaya, 54, daripada kedua-dua pertuduhan.

Mohd Yazid didakwa melakukan kedua-dua kesalahan terhadap mangsa, yang ketika itu berusia 17 tahun dan merupakan rakan anak gadisnya, di Bukit Jambul, Pulau Pinang pada 8 dan 11 Mei, 2005.

Panel itu, yang turut dianggotai Datuk Linton Albert dan Datuk Mohd Zawawi Salleh, mengembalikan keputusan Mahkamah Majistret mensabitkan tertuduh atas kedua-dua pertuduhan serta hukuman penjara enam bulan bagi kesalahan pertama dan sembilan bulan bagi pertuduhan kedua.

Mohamed Apandi memerintahkan Mohd Yazid menjalani hukuman itu secara serentak mulai hari ini.

Mohd Yazid sebelum ini dibenarkan diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu rayuan kes.

Dalam penghakimannya, Mohamed Apandi berkata isu yang perlu diputuskan ialah sama ada Mahkamah Majistret melakukan kesilapan kerana didakwa gagal memenuhi kehendak Seksyen 257 Kanun Tatacara Jenayah iaitu menjelaskan prosedur kepada seorang tertuduh yang tidak diwakili peguam.

"Berdasarkan fakta kes, mahkamah ini mendapati tidak ada kesilapan yang dilakukan," katanya.

Mohamed Apandi berkata pada prosiding kes itu di Mahkamah Sesyen, Mohd Yazid menyoal balas saksi pendakwaan dan ini menunjukkan tertuduh memahami prosedur yang berkaitan. - Bernama

Mangkuk diraja China pecah rekod dunia lelongan

HONG KONG - Sebuah mangkuk merah dihiasi corak bunga teratai memecahkan rekod dunia barangan seramik pada era Dinasti Kangxi di China dalam satu lelongan oleh firma Sotheby’s semalam.

Berlangsung di sini selama lima hari, lelongan tersebut melibatkan koleksi wain, barang kemas, hasil seni, seramik dan jam tangan dari Asia serta China.

Mangkuk yang dinamakan Falangcai dari era Kangxi antara tahun 1662 hingga 1722 itu dilelong pada harga HK$74 juta (RM29.1 juta).

Artifak tersebut dibeli oleh seorang penjual seramik di sini, William Chak.

Lebih daripada 400 pembeli hadir pada sesi pagi lelongan itu untuk membida 57 barangan seramik.

32 lelaki bersejata dari Filipina ditahan

Tiga puluh dua individu yang menaiki sebuah bot ditahan di perairan Sabah, kira-kira 12 batu nautika dari Tambisan, Lahad Datu awal pagi ini.

Pasukan keselamatan turut merampas pelbagai senjata seperti senjata api, barong dan kapak serta beberapa dokumen yang dibawa kumpulan lelaki itu.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata setakat ini kesemua mereka ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

"Kami belum mengenal pasti bangsa mereka," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kota Kinabalu, di Kota Kinabalu hari ini.

Beliau berkata bot yang dikenali sebagai 'kumpit' yang dinaiki kumpulan lelaki itu ditunda ke Sandakan untuk siasatan lanjut.

Hamza sekali lagi memberi jaminan keadaan di semua daerah di Sabah terkawal dan menafikan dakwaan terdapat 100 pengganas bersenjata memasuki negeri ini.

"Pasukan keselamatan sentiasa mengawal keadaan dengan kawalan ketat di kawasan perairan Sabah," katanya.

Sementara itu, pasukan Forensik menemui 15 lagi mayat di Kampung Tanduo, dekat Lahad Datu dan kesemua mayat itu akan dibawa keluar dari kawasan yang menjadi kubu militan dari selatan Filipina itu petang ini.

Beliau berkata kesemua mayat itu adalah daripada pertempuran antara pasukan keselamatan dan kumpulan militan yang sebelum ini tidak dapat dibawa keluar atas faktor keselamatan.

- Bernama

LAHAD DATU - Kepakaran dan keupayaan kriteria utama Esscom


LAHAD DATU, 8 April (Bernama) -- Keupayaan dan kepakaran menjadi keutamaan kepada pemilihan pegawai dan anggota untuk diserap di bawah struktur organisasi Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).

Ketua Pengarah ESSCOM Datuk Mohammad Mentek berkata kriteria itu diutamakan bagi memastikan mereka yang dilantik dalam ESSCOM mampu melaksanakan tanggungjawab yang diberi dengan peranan masing-masing.

Beliau berkata keupayaan dan kepakaran selain ditambah dengan pengalaman tugas mereka menjadi aset penting dalam menganggotai ESSCOM.

"Sebagai sebuah organisasi baharu dan berperanan penting dalam keselamatan di kawasan pantai timur Sabah sudah tentu memerlukan mereka yang mampu melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan," katanya kepada Bernama Isnin.

Mohammad berkata beliau menghantar pemohonan perjawatan ESSCOM itu kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) hari ini.

"Saya yakin pihak JPA akan meluluskan permohonan perjawatan itu dengan segera bagi mengeluarkan waran perjawatan untuk ESSCOM," katanya sambil menambah pegawai dan anggota yang akan dilantik itu termasuk calon tempatan.

Struktur perjawatan itu membabitkan empat bahagian di bawah ESSCOM -- Pertahanan; Keselamatan dan Ketenteraman Awam; Awam; dan Risikan Bersama -- yang diketuai pengarah setiap bahagian dan jawatan lain di bawahnya melibatkan 30 hingga 40 jawatan.

Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam dan Risikan Bersama masing-masing diketuai pegawai kanan dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) manakala Pertahanan diterajui oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan bahagian Awam diketuai Pegawai Tadbir dan Diplomatik.

Mohammad berkata beliau telah menerima nama pegawai dan anggota untuk diletakkan di bawah ESSCOM daripada PDRM, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan JPA.

"Saya kini menunggu senarai nama daripada ATM dan difahamkan mereka telah mengenal pasti calon yang sesuai," katanya. Bernama

Catatan Popular